perasaan cinta telah bersemai, tidaklah ada makhluk yang sanggup menghalanginya, sebab cinta ialah perasaan hati yang merdeka dan bebas. Sebab itu bercintalah Syamsudin sendirinya, tidak seorang pun
Semenjak ibunya mati, tinggallah Gadih
Basanai seorang diri di rumah yang besar. Tiada seorangpun
mendekat-dekat ke situ yang dapat jadi kawannya dan menghilangkan
kesunyian. Apa lagi dia terhitung orang berbangsa, takut orang biasa
akan mendekati dia.
Sebab itu iapun dibawa pindah oleh
mamaknya ke rumah isterinya di Salido. Di sanalah dia tinggal dengan
mentuanya (isteri mamaknya itu) yang berbudi. Anaknya ada pula seorang
lelaki, bernama Syamsudin. Kerana itu anaknya yang seorang telah jadi
berdua.
Kian tahun kian besarlah Basanai, menjadi
semangat rumah yang besar, permainan mata mamak dan mentua; cantik lagi
jelita. Menurut adat kampong, bilamana bunga telah mulai kembang,
mendekatlah kumbang hendak menyeri manisannya.
Demi setelah cukup usianya 16 tahun
bertimpa cerana datang, pinangan anak sutan-sutan, orang berbangsa dalam
negeri, meminta supaya Basanai suka dijadikan teman hidup. Tetapi
mamaknya belum hendak menerima “kata orang,” sebab belum ada yang dapat
dipandang duduk sama rendah, tegak sama tinggi dengan Basanai. Enam kali
cerana datang, enam orang bujang berganti, semuanya tertolak saja.
Jarang sutan akan jodohnya, jarang puteri akan tandingnya.
Tetapi lain daripada segala permintaan
orang lain, ada seorang yang telah menanamkan cinta di dalam hatinya
terhadap Basanai, cinta yang membukakan pengharapan di zaman yang akan
datang. Cinta yang selalu tidak memperbezakan darjat. Orang itu ialah
Syamsudin sendiri. Adapun Basanai tidaklah tahu bahawa saudara sepupunya
itu menaruh cinta kepada dia, lain dari cinta saudara lelaki kepada
saudara perempuan, kerana sejak dari kecil mereka makan sepinggan, minum
semangkuk, sama di bawah naungan langit hijau, sama mandi di sebuah
pancuran.
Bilamana manusia yang tahu, dan dia pun tidak
berniat hendak memberitau kepada orang lain, hatta kepada ibu dan
bapanya. Kerana menurut adat yang lazim di Minangkabau pada masa itu,
bangsa ayah tidaklah sama dengan anak. Hanya bangsa mamak yang sama
dengan bangsa kemamakkan. Sisa-sisa adat lama itupun masih ada sampai
sekarang. Jadi adalah Basanai sebangsa dengan ayah Syamsudin, dan
Syamsudin sebangsa dengan ibunya sendiri. Ayahnya orang jemputan, ibunya
orang di bawah, “diukur tegak sama tinggi, tapi tentang bangsa dia
kurang”
Pada suatu hari, sedang Syamsudin mandi
seorang dirinya di pancuran, bertemulah olehnya segulung rambut yang
hitam berkilat dan panjang. Dia tahu benar bahawa rambut itu rambut
Basanai, sebab rambut ibunya tidak sepanjang itu. Dan orang lain tidak
ada yang mandi ke situ. Dia tahu pula, jika sekiranya dia hendak meminta
sesuatu tanda mata kepada Basanai, tidaklah akan diberinya. Sebab itu
dipadankannya saja rambut itu akan dijadikan tangkal azimat, dijadikan
ubat jerih pelerai demam. Rambut itu digulungnya baik-baik,
dimasukkannya ke dalam puan ibunya; setelah itu dibungkusnya dengan kain
putih sedester. Bilamana tengah malam dan bulan terang benderang,
kerapkali dia berdiri ke tepi pantai, melihat ombak memecah di karang
dan angin laut berhembus, maka dikeluarkannyalah puan itu dari sakunya,
lalu dipantunnya:
Anak gagak di lesung cina
Makan berulang ke perahu
Hati hendak bagaikan gila
Tapi mengata tidak tahu
Makan berulang ke perahu
Hati hendak bagaikan gila
Tapi mengata tidak tahu
Maka tibalah musim orang ke Pagai mencari
rotan dan damar. Biasanya bilamana rotan telah terkumpul, dibawalah ke
pulau Cingkok, sebab di sana banyak berlabuh kapal dagang orang Feringgi
(Portugis), Inggeris dan Belanda, hendak membeli barang hutan. Biasanya
orang Salido belayar ke Pagai bersama-sama, selama-lamanya 3 bulan.
Jika angin selesai, barulah mereka pulang.
Syamsudin dengan ayahnya pun hendak pergi
pula ke Pagai, sebagaimana kebiasaan tiap-tiap tahun. Sebelum
berangkat, disiapkan dahulu segala yang perlu, dijahit layar mana yang
robek, ditukar mana yang usang, biduk ditampal mana yang tiris. Setelah
tiba hari yang ditentukan, pergilah Basanai dengan mentuanya ke tepi
pantai, hendak melepas mereka berlayar. Di atas pasir yang luas itu, di
pinggir pantai lautan yang tidak kelihatan tepinya, di ombak yang
bergulung-gulung di riak memukul kaki, di bawah naung langit hijau, di
sanalah Basanai dan mentuanya menangis melepas orang akan belayar.
Setelah ayahnya naik ke biduk, Syamsudin
pergi menjabat tangan ibunya, Basanai terpisah tegak agak jauh sehingga
percakapan orang berdua itu tiada terdengar olehnya, apalagi kerana
gelombang memecah di pasir dan angin berhembus di pantai amat keras.
Syamsudin berkata:”Ibuku, belum tentu anakanda akan kembali pulang,
manalah dapat ditentukan gerak Allah. Kalau untung baik, selamat
anakanda pulang pergi. Kalau gerak takdir telah tersurat, entah hilang
anakanda di laut lepas, entah di lamun ombak tujuh, gerak Allah siapa
tahu? Hanya sedikit anakanda meninggalkan pesan, pegang petaruh
erat-erat. Di atas kepala pintu yang menghadap ke laut ada anakanda
letakkan sebuah puan perak berbungkus dengan kain putih; di dekat itu
ada pula sebuah cermin. Tiada seorang pun boleh memegang dan mengambil
barang itu, tentu akan terlanggar pantang. Kelak jika nama anakanda saja
yang pulang barulah boleh ibu mengambil kedua-dua barang itu”
“Baiklah,” jawab ibunya: “Petaruhmu akan bonda pegang erat-erat. Selamatlah anak belayar.”
Dikerlingnya Basanai dengan sudut matanya yang muram, seraya katanya: “Selamat tinggal, Basanai.”
Sebelum Basanai sempat menjawab, dia
telah melompat ke atas biduknya. Ayahnya telah menunggu dia di sana.
Layar pun dikembangkannya dan sauh dibongkarnya.
Tiada berapa lama antaranya biduk itupun beroleh angin yang selesa. Setelah sebesar kumbang kelihatannya di lautan, barulah Basanai dan mentuanya pulang ke rumahnya.
Tiada berapa lama antaranya biduk itupun beroleh angin yang selesa. Setelah sebesar kumbang kelihatannya di lautan, barulah Basanai dan mentuanya pulang ke rumahnya.
Sebulan telah menjadi dua bulan, hampir
tiga bulan penuh! Khabar berita dari Pagai belum datang. Pada suatu
hari, sedang Basanai membersihkan jaring labah-labah, sampailah hujung
sapunya kepada pintu tempat puan dan cermin itu diletakkan Syamsudin.
“Barang apakah itu, mentua?” tanyanya kepada mentuanya.
“Wahai, Gadih! Itulah barang simpanan
Syamsudin, agaknya azimat dan tangkal. Dia berpetaruh benar melarang
orang menyentuh kedua barang itu. Dia sendirilah seorang kelak jika
telah kembali yang akan mengambilnya. Jika namanya saja yang pulang,
barulah ibu akan mengambilnya.”
“Barang apalah agaknya,” kata Basanai dalam hatinya dan pekerjaannya pun diteruskannya pula.
Tiap-tiap membersihkan rumah, sampai juga
hujung sapunya kepada barang yang terlarang itu. Akhirnya timbullah
keinginan hendak tahu, kerana demikianlah tabiat manusia. Yang paling
diingininya ialah barang yang terlarang.
Pada suatu hari, sedang mentuanya membawa
perian dan labu ke pancuran, menjemput air minum, Basanai meningkat
gerangan isi bungkusan itu dan apakah cermin itu. Sebentar saja
sampailah tangannya ke sana dan dibawanyalah kedua barang itu turun
bagai menatang minyak penuh. Bungkusan itu dibukanya, dadanya
berdebar-debar. Setelah itu dibukanya pula puan perak itu. Isinya
segumpal rambut yang hitam panjang. Bertambah debar-debar hatinya,
kerana rambut itu rambutnya sendiri. Diperhatikannya rambut itu
baik-baik. Gementar sendi tulangnya, merah padam warna mukanya. Apakah
gunanya rambutnya itu disimpan oleh Syamsudin?
Seakan-akan ada suara ghaib berbisik di
telinganya membisikkan suatu perasaan yang belum pernah dirasainya
selama hidupnya, dan perasaan itupun mengalir ke seluruh batang tubuhnya
dan urat darahnya. Tawar dan dingin rasanya!
Diambilnya pula cermin itu, dilihatnya
mukanya di sana, muka yang cantik lagi jelita, buah tutur anak
sutan-sutan yang berenam. Tetapi hairan…. Bukan mukanya yang kelihatan,
hanya muka orang lain! Mula-mula samar, kemudian nyata, muka Syamsudin!
Darahnya tersirap!
Tengah ia termenung dan hairan melihat
cermin itu, mentuanya datang. Dia terkejut melihat perbuatan Basanai,
hampir terhempas perian yang sedang dipikulnya.
“Celaka! Mengapa engkau langgar larang
dan pantangan? Kalau tidak mengandung bahaya, tentu tidak akan dilarang
oleh si Syamsudin menjamah benda itu, ketika dia akan belayar. Letakkan
lekas, kembalikan ke tempatnya celaka engkau nanti”
“Celaka tanganku yang gatal ini, mentua,
hati pun tak dapat aku tahan, dia hendak tahu juga. Jika kak Asam pulang
mintakan Basanai ampun kepadanya. Tetapi mentua!…. Mengapa rupa dan
wajah kak Asam yang kelihatan dalam kaca ini? Salahkah pemandanganku?
Tidak, mentua, bukan hamba salah lihat. Nyata wajah kak Asam di dalamnya! Lihatlah!
Segera mentuanya datang melihat kaca itu.
Dia tersenyum sebab yang kelihatan di sana bukan wajah Syamsudin,
melainkan wajahnya sendiri, sebagaimana biasa segala kaca di dunia ini.
“Bukan, bukan Syamsudin yang kelihatan di dalamnya, nak!
Syamsudin sekarang jauh di Pagai. Hal itulah hanya bayang-bayang angan-angan belaka.
Kaca itu dilihat sekali lagi oleh
Basanai, rupa Syamsudin tidak kelihatan lagi, hanya wajahnya sendiri
pula! Rupanya perasaan jantung yang tengah bergelora telah padam, telah
sedar kembali. “Rupanya hamba salah lihat,” katanya sambil tersenyum
tetapi mukanya agak pucat.
“Bukan sudah bonda katakan? Engkau
terlanggar pantangan. Jangan barang itu Basanai dekati, kata bonda,
engkau dekati juga, sekarang begini yang bertemu…”
“Ohh mentua, mintakanlah hamba ampun jika
kak Asam pulang, mohonkan hamba maaf kepadanya. Hamba akui kesalahan
hamba, digantung hamba tinggi, dibuang hamba jauh, apa putusan kak Asam
hamba ikut, untuk menebus dosa hamba.”
Sedang duduk berdua menganyam tikar
“Sedang mengapa agaknya orang di Pagai, mentua? Khabar beritanya tidak juga sampai.”
“Agaknya sedang mengumpulkan rotan.
Setelah penuh biduk, barulah dibawa ke pulau Cingkuk. Setelah itu jika
bertiup angin selatan, biduk akan menuju pulang.”
Sedang menjemur di halaman
“Mentua, sudah hamba hitung-hitungkan hari, sudah hamba bilang-bilangkan pekan…
Khabar dari Pagai tidak juga datang
Nun, tengoklah di tepi pantai, mentua
Biduk orang lain telah berlabuh dua tiga
Biduk dari Pagai belum juga pulang
Nun, tengoklah di tepi pantai, mentua
Biduk orang lain telah berlabuh dua tiga
Biduk dari Pagai belum juga pulang
“Basanai, tiris agaknya biduk kita;
mencari damar penyumbat yang tiris itu mamak dan saudaramu dahulu.
Agaknya layar cabik dihembus angin barat, memintal benang mereka dahulu
penjahit yang cabik itu”
“O mentua, tak tertanggung, tak tertahan,
Malam haram mataku tidur,
Siang haram dudukku senang,
Ingatan kepada orang di Pagai saja”
Malam haram mataku tidur,
Siang haram dudukku senang,
Ingatan kepada orang di Pagai saja”
“Basanai, Basanai! Dahulukan sudah bonda katakana jua, anak sudah melampaui pantangan,
anak sudah melanggar larangan.”
Basanai jatuh sakit
“Kian lama kian lemah sekujur tubuhku, mentua! Biarkanlah hamba duduk dekat pintu yang menghadap ke laut,
Supaya dapat segera hamba lihat,
Agaknya telah dekat biduk orang Pagai akan pulang,
Apakah yang kelihatan putih di hujung laut itu, mentua?
Bukankah layar biduk orang dari Pagai?”
“Bukan, Gadih, bukan! Yang kelihatan
putih dari jauh itu ialah ombak yang sedang memecah di atas karang. Dan
itu, yang di sebelah selatan itu ialah burung belang laut,
berkejar-kejaran mencari makanan, putih sayapnya kena cahaya matahari.”
“Itu? Yang kelihatan antara ada dengan tiada, bukankah biduk orang dari Pagai itu dihayun ombak dan gelombang?”
“Belum, Gadih! Hanya biduk nelayan, yang belayar di tepi-tepi saja, ke tengah takut digelombang.”
“Bilakah biduk dari Pagai akan berlabuh…. Oh mentua?”
Sakit Basanai bertambah larut
“Sudah berasap penglihatanku, mentua!”
“Tak nyata lagi olehku ombak yang memecah
di karang, hanya deru angin yang kedengaran di telingaku, belum jugakah
biduk dari Pagai akan berlabuh…?”
“Lautan hijau, ku lihat laksana rumput gatil-gatilan.”
“Mentua, sudah lemah sendi tulangku, goyah segala anggotaku!”
“Alangkah sakitnya nyawa akan bercerai dengan badan. Agaknya orang dari Pagai takkan melihat badan hamba ketanahkan.”
“Jika Gadih Basanai mati muda, mentua,
panggil tunangan, keenamnya, berdua suruh merobek kafan, berdua menggali
kubur, berdua menyembahyangkan; memandikan mayatku oleh mentua sendiri.
Kuburkan mayatku di atas puncak gunung ledang, di bawah naungan pohon
delima dua sederet, di dekat kemuning hijau. Tegakkan di atas kuburku
bendera berjurai dua, sejurai hadapkan ke rumah marhum ibuku, sejurai
hadapkan ke laut, supaya tampak oleh biduk orang dari Pagai.”
“Oh Gadih Basanai! Semolek secantik ini, segombang semuda ini engkau, dunia akan engkau tinggalkan?”
“Dan jika orang dari Pagai pulang, suruh
ziarah dia ke kuburku; badan hamba yang halus tak kuasa lagi menunggu
dia sampai pulang, hamba tunggu dia di puncak gunung ledang…
Sekarang, hadapkanlah mukaku ke laut
lepas, ke jihat Pagai, supaya senang jiwaku meninggalkan dunia dan damai
semangatku meningkat langit….” Dengan tangis tersedu-sedu mentuanya
meninggikan bantalnya. Basanai pun melihat tenang-tenang ke laut, ke
jihat Pagai. Waktu itulah sampai janjiNya.
Syamsudin pulang
“Apa sebabnya merah tanah di puncak gunung ledang, ayah?
Adakah ayah lihat bendera dua jurai, di bawah naungan delima dua sederet, di dekat kemuning hijau?
Adakah ayah lihat bendera dua jurai, di bawah naungan delima dua sederet, di dekat kemuning hijau?
Kubur siapakah itu agaknya?”
“Entahlah anak, hati ayah pun berdebar-debar pula.”
Biduk berlabuh, ibunya menunggu seorang diri di tepi pantai.
“Mana Basanai, ibuku?” Tanya Syamsudin.
“O anak, Basanai tidak ada lagi, dia
telah dahulu dari kita. Lihatlah puncak gunung ledang, masih basah tanah
menalakin, telah tertegak nesan dua buah.”
Tertegun Syamsudin tegak, airmatanya
jatuh dua jatuh tiga, bagai manik putus pengarang. Ayah bondanya
menangis pula kerana tangisnya itu.
“Tidakkah Basanai meninggalkan pesan, tidakkah dia tertinggal kata? O ibuku, dia tahu…”
“Wahai, anak! Sebab dia telah tahu bahawa
engkau cinta kepadanyalah maka dia sampai begitu. Larang pantangan
dilanggarnya, sampai dibukanya bungkusan pantangan; dalam bungkusan itu
bertemu olehnya tanda-tanda yang menunjukkan cinta engkau kepadanya.
Sejak itu hatinya tak senang lagi, dia hendak bertemu juga, hendak
menyampaikan kepada engkau bahawa dia pun cinta kepadamu. Petaruhnya ada
sebuah, iaitu tidak sanggup lagi dia menunggu engkau di dunia; sebab
itu ditungunya engkau di akhirat. Disuruhnya engkau ziarah ke kuburnya,
tubuhnya yang halus menunggu kedatangan engkau di sana.”
Petang khamis malam jumaat pergilah
Syamsudin ke atas puncak gunung ledang, membawa perasapan, dengan lidi
kelapa hijau 7 helai dan air dari 7 muara. Sesampai di kubur Gadih itu,
dikelilingi kubur itu 7 kali dengan perasapan; kemudian disiramnya
dengan air 7 muara, dipukulnya dengan lidi kelapa hijau 7 helai, kerana
demikian petua dukun. Setelah itu iapun bernyanyi memanggil arwah orang
yang telah mati.
Diserunya orang yang telah dalam kubur,
orang kubur menyeru pula kepada orang dunia. Maka menanglah seruan
ghaib, kalah seruan dalam lahir. Di atas kubur itulah, di bawah cahaya
bulan purnama, di dalam deru angin malam, Syamsudin menghembuskan
nafasnya yang penghabisan…
Tidak ada komentar:
Posting Komentar